Monday, January 30, 2012

4 Kunci Ketenangan

Kehidupan di dunia ini menjanjikan seribu satu ujian yang mencabar kekuatan diri. Kata bijak pandai, bukanlah masalah itu sudah menjadi mudah, namun anda telah menjadi semakin kuat. Begitulah hikmahnya Allah menurunkan ujian demi ujian kerana dengannya, manusia akan kembali mengingatkan Tuhan yang menciptakannya dan memohon dipinjamkan kekuatan daripada-Nya Yang Maha Kuat.
Namun, kita ini tetap manusia yang punya hati budi dan perasaan. Setiap kali ujian, kita pasti merasa kegusaran. Seorang ulama Sufi di zaman tabi'in, Imam Hasan al-Basri menunjukkan kita jalan ketenangan dengan berpesan. Empat kata-kata yang merupakan kunci meraih ketenangan ialah

1. "Aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang."
Kata-kata ini membawa kefahaman kepada kita bahawa manusia yang faham benar konsep rezeki pasti tidak akan mengorbankan masa untuk persediaan akhiratnya demi kepentingan duniawinya. Mana mungkin ditinggalkan solatnya walau satu waktu, hanya kerana ribuan ringgit. Mana mungkin diabaikan pahala menjaga ibu yang tua kerana kepentingan lain. Mana mungkin ditinggalkan ibu tuanya yang memakai pampers dengan linangan air mata, semata-mata untuk menjadi si kaya dengan merantau ke bumi lain, sedangkan pendapatannya hari ini sudah lebih daripada cukup.
2. "Aku tahu bahawa tugasku (sebagai hamba) tidak akan dikerjakan orang lain, maka aku sibukkan diriku dengannya."
Sahabat-sahabat yang kucinta kerana Allah,
Jika kita ditugaskan untuk solat lima waktu, maka kewajipan itu ke atas diri kita. Tidak diterima solat orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menunaikan solat. Jika kita dibebani dengan kewajipan menutup aurat, maka tidak diterima dari orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menutup aurat. Jika kita sebagai suami yang membiarkan anak isteri tanpa makanan kerana kelalaian, lalu ada insan yang bersimpati menghulurkan bantuan, kewajipan kita tetap tidak terangkat. Kita adalah pendosa kerana mengabaikan kewajipan yang telah diamanahkan.
3. "Aku yakin Allah memerhatikanku, lalu aku malu untuk menjatuhkan diriku ke dalam dosa."
Allahu Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥ‌ۖ  وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيد
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan menusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
(Surah Al-Qaf 50:Ayat 16)
Sahabat-sahabat yang dikasihi, sekiranya anda menjadi seorang imam solat (waktu mengadap Tuhan) adakah anda sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sopan? 
Sudah tentu tidak. Tetapi mengapa?
Kerana anda yakin bahawa ada mata yang memandang anda di belakang. Mata para makmum yang berkomunikasi baik dengan lidah mereka sehingga kejelikan akhlak anda cepat tersebar. Jika diikutkan, anda tidak mampu melihat ke belakang, bahkan anda juga tidak tahu apakah makmun tadi benar-benar melihat anda, anda juga tidak tahu adakah makmun tadi masih bersama atau sudah mufaraqah dari anda, tetapi lihatlah, betapa keyakinan anda sudah memadai untuk menjadikan anda imam yang penuh kesopanan.
Cuba kita bayangkan, seandainya kita berkeadaan seperti ini pada setiap ketika iaitu berkeadaan seolah-olah seorang imam yang sentiasa berasa diri diperhatikan, sudah pasti kita akan jauh daripada dosa dan penderhakaan. Sudah pasti, kita akan semakin hampir dengan Allah dan merasakan ketenangan hati.
4. "Aku tahu ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya."
Imam al-Suyuti dalam kitabnya Sharh al-Sudur bi Sharh hal al-Mawta wa al-Qubur menukilkan kata sahabat Nabi Abu Darda' R.A tentang ajal kematian:
Peringatan yang memberi kesan dan suatu yang diabaikan yang segera datang, memadailah kematian sebagai pemberi peringatan dan memadailah masa (umur) sebagai pemutus. Hari ini di dalam bilik, esok di dalam kubur.
Renungilah 4 kata-kata kunci ketenangan ini.
Sumber I Luv Islam : Discover the Beauty Of Islam
Tazkirah Oleh Muhammad Salahuddin Haris @ Harith


EmoticonEmoticon