1- Memurnikan Tauhid Dan Meluruskan Akidah:
Proses bagi memurnikan tauhid, iaitu hanya bertuhankan Allah s.w.t. dan tidak selainNya perlu menjadi amalan dan diperjuangkan seumur hidup, sehingga individu itu berjaya mengucapkan kalimah tauhid pada akhir kalamnya. Dalam erti mendalam ialah mengeluarkan segala kebesaran makhluk (selain Allah s.w.t.) dan hanya ada kebesaran Allah s.w.t. di dalam hati, jiwa dan minda. Sehingga tiada sebarang makhluk yang menjadi sumber ketakutan, ketaatan dan kepatuhan selain Allah s.w.t. Akidah wajib diluruskan pada setiap waktu melalui menuntut ilmu serta mengamalkannya dan sentiasa bermuhasabah diri sendiri untuk terus bertaqarrub kepada Allah s.w.t.
Semua manusia hanya perlu menyembah kepada Allah s.w.t., meminta hanya kepada Allah, berharap hanya kepada Allah, mengadu dan berdoa hanya kepada Allah s.w.t. serta mengingati Allah s.w.t. pada waktu susah dan senang. Hubungan dengan Allah s.w.t. perlu dijaga dan disuburkan dengan sentiasa bermunajat, berzikir dan mencintai Allah s.w.t. Dengan adanya perasaan ini, kita tidak perlu lagi menggunakan tangkal dan azimat. Kita tidak perlu bergantung harap kepada manusia ataupun apa jua makhluk Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t. sahaja yang perlu diagungkan, dimuliakan dan dibesarkan.
2. Mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Umat Islam perlu meyakini dan memahami bahawa tiada kejayaan melainkan mentaati perintah Allah s.w.t. serta mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Wajib meyakini bahawa setiap ajaran yang ditunjukkan oleh baginda adalah yang terbaik dan kita perlu mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Beliau adalah seorang yang maksum, iaitu terpelihara daripada segala dosa. Beliau juga yang memberi syafaat di padang mahsyar kelak. Setiap perkataan, perbuatan dan buah fikirannya adalah daripada Allah s.w.t. semata-mata.
Segala sunnah begitu dibenci oleh syaitan, iblis dan jin-jin yang jahat. Amalan sunnah Nabi s.a.w. bukan sahaja mempunyai faedah kerohanian tetapi juga perlindungan daripada gangguan mereka. Antara contoh amalan harian berdasarkan sunnah Nabi s.a.w. adalah seperti berikut:
- Mengamalkan doa sebelum tidur, membaca ayat Kursi dan 3 Qul sebelum tidur. Doa-doa ini diamalkan bagi mendapatkan perlindungan daripada gangguan syaitan dan iblis.
- Membaca doa dan menyebut nama Allah s.w.t. ketika masuk dan keluar rumah. Amalan ini menjadikan rumah itu terhindar daripada didiami jin, syaitan dan iblis pada hari itu.
- Membaca ayat Kursi ketika keluar rumah. Allah s.w.t. melindungi orang yang mengamalkan ayat ini daripada gangguan syaitan dan iblis.
- Membaca doa ketika jimak dapat mengelakkan persetubuhan dari disertai oleh jin dan syaitan, insyaAllah zuriat yang dilahirkan akan mendapat perlindungan Allah s.w.t. daripada gangguan syaitan dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Terdapat banyak lagi amalan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu kita perlu mendalami ilmu-ilmu berkaitan dengan sunnah Nabi s.a.w. dengan cara berguru dengan para alim ulama secara berterusan bagi memperkasa benteng diri daripada gangguan jin, syaitan dan iblis.
Solat adalah tiang agama. Ia adalah salah satu dari rukun-rukun Islam. Mendirikannya adalah wajib bagi mereka yang cukup syarat-syaratnya. Selepas iman, solat adalah amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Mereka yang mengaku Islam wajib mendirikan solat. Solat menghubungkan diri dengan Allah s.w.t. Nabi Muhammad s.a.w. sudah pun menunjukkan kadar minimum yang wajib dilakukan adalah 5 kali sehari semalam.
Amalan solat perlu sempurna dari segi perlaksanaan fizikal, iaitu mengikut hukum fiqh yang betul dan perlaksanaan khusyuknya. Solat yang betul dari segi perlaksanaan syariat tetapi tidak khusyuk tetap dapat pahala tetapi kurang memberi kesan pada hati. Solat yang khusyuk tetapi tidak betul seperti yang diajar oleh Nabi muhammad s.a.w. tidak diterima oleh Allah s.w.t. Oleh itu solat mestilah betul dari segi syariatnya dan benar dari segi khusyuknya untuk menjadi benteng kerohanian yang kuat demi melawan segala godaan jin, syaitan dan iblis. Solat yang sempurna akan dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara-perkara keji dan mungkar. Perlaksanaan terbaik mengikut cara Nabi Muhammad s.a.w. ialah dengan solat berjemaah…..baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu berjemaah hingga baginda wafat.
Selain solat fardhu, solat-solat sunat amat perlu dilakukan sebagai cara mengukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t. Di antara solat sunat yang amat digalakkan memperbanyakkannya ialah solat tahajjud, solat dhuha, solat witir dan solat sunat rawatib.
4. Memperbanyakkan Membaca al-Quran Dan Mentaddabur Isi Kandungannya
Al-Quran diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai panduan. Al-Quran juga adalah sebagai sumber penyembuh dan rahmat yang diturunkan kepada orang-orang beriman. Al-Quran perlu dibaca setiap hari bagi mendapat petunjuk, keberkatan dan nur. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang dapat dijadikan amalan harian ataupun amalan ruqyah sebagai rawatan penyakit yang berpunca daripada jin, syaitan dan iblis. Ayat-ayat seperti ini perlu diamalkan dengan yakin kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. sahaja zat yang Maha Penyembuh. Amalkan ayat-ayat tersebut setiap hari secara istiqomah (konsisten) agar sebati dengan diri sehingga tidak ada lagi jin, syaitan dan iblis yang mampu mengganggu kita.
5. Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad S.A.W. Dan Ahli Keluarga Serta Sahabat-sahabat Beliau
Umat Islam digalakkan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat beliau. Orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekali , Allah s.w.t. berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Memperbanyakkan selawat mendatangkan rahmat Allah s.w.t. kepada pembacanya. Kita digalakkan menutup doa kita dengan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., supaya Allah s.w.t. mendengar doa itu. Memperbanyakkan selawat juga dapat menjamin orang itu mendapat syafaat Nabi Muhammad s.a.w. ketika berada di padang mahsyar kelak.
Bolehlah diamal mana-mana selawat dan terlebih afdhal selawat dianjurkan dalam hadis-hadis sahih seperti selawat di dalam tahiyyat akhir dalam solat.
6. Menjauhi Dan Meninggalkan Maksiat Dan Dosa
Amalan dosa dan maksiat disukai oleh jin, syaitan dan iblis. Melakukan dosa besar ataupun mengekalkan dosa-dosa kecil akan menggelapkan hati. Hati yang hitam dengan dosa sukar mendapat hidayah dan sukar mendengar nasihat. Sekiranya orang itu berkekalan dengan segala bentuk maksiat, Allah s.w.t. akan menghantar jin,syaitan dan iblis menjadi temannya. Pesakit gangguan jin digalakkan melakukan taubat nasuha, iaitu meninggalkan amalan-amalan dosa dengan melakukan solat taubat dan ditambah dengan beristighfar kepada Allah s.w.t. supaya diampuni dosanya. Amalan-amalan yang dapat melalaikan seperti bercakap lucah, mendengar muzik yang melekakan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan perlu ditinggalkan dan dijauhi.
7. Memperbanyakkan Amalan-amalan Sunat
Setiap perkara yang baik dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. tidak disukai oleh jin, syaitan dan iblis. Melakukan banyal amalan-amalan sunat adalah cara bagi mendapatkan cinta dan kasih sayang Allah s.w.t. Antara amalan sunat yang perlu diperbanyakkan adalah solat-solat sunat, puasa sunat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, bersedekah dan bercakap yang baik-baik.
Pesakit gangguan jin juga digalakkan memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya Allah s.w.t. memberkati proses penyembuhan penyakit yang dilaluinya. Selagi Allah belum memakbulkan kesembuhan, beliau perlu redha dengan sakit yang dialami dengan harapan, Allah s.w.t. memberi keampunan dosa. Kemungkinan penyakit itu akibat dosanya sendiri atau sebagai kafarah baginya. Bertahajud serta berzikir dan bertaubat juga dapat menguatkan rohani. Ia juga dapat menjadi benteng daripaga segala bentuk gangguan jin, syaitan dan iblis.
8. Sentiasa Berdamping Dengan Alim Ulama, Orang Soleh Dan Rakan-rakan Yang Baik
Mendekati dan berdamping dengan orang alim, soleh dan rakan-rakan yang baik adalah cara bagi memotivasikan diri supaya menjadi baik. ini memudahkan seseorang melakukan amalan baik dan secara automatik beliau terpelihara daripada melakukan maksiat dan dosa.
Alim ulama pula adalah orang yang begitu dibenci oleh jin, syaitan dan iblis, terutamanya yang dapat menjalankan rawatan sakit gangguan jin, syaitan dan iblis. Mereka ini perlu dijadikan tempat rujukan bagi mendalami perihal Islam, iman dan ihsan.
EmoticonEmoticon