Wednesday, April 4, 2012

Apa Khabar kamu hari ini? IMAN

Tangan kanan itu kembali menyentuh dada. Lama. Mata dipejam kejap. Hati dan akal berbicara menukar tanda. Sepakat berkata bahawa, itu rasanya. Rasa. Ya, rasa itu kembali. Rasa itu datang lagi di sini. Rasa itu melabuhi hati. Rasa itu sepertinya- sakit! Sakit yang sungguh tak terperi.

Sepertinya sudah tidak dapat ditahan lagi. Hati sudah tewas dengan perasaan sendiri. Perlahan air jernih itu membasahi pipi. Juga hati dalam sunyi.

"Allah."

Susah payah dengan sendu mulut mengucapkan. Terketar-ketar bibir mengeluarkan. Semakin laju air jernih itu mengalir membasahkan.

"Allah."

Penuh kesakitan.

"Apa khilafku, Ya Allah. Apa salahku, Ya Allah. Apa yang telah aku lakukan mengundang murka-Mu, Ya Allah."

Tangan tetap pada dada. Degupan itu masih terasa. Degupan itu tiada tandingnya. Degupan itu laju bagai tiada penghalangnya. Degupan itu tidak mahu menurun tahap kelajuannya. Degupan itu seperti berkongsi rasa. Rasa yang menguasai semuanya.

Kenapa rasa itu kembali lagi di sini? Rasa saat si dia pergi, memang tidak dapat ditandingi. Rasa saat si dia seperti tidak mahu kembali, memang tidak dapat mungkin diterangkan untuk yang lain fahami. Rasa saat si dia berjalan meninggalkan hati, sakitnya itu bukan sahaja pada hati malah pada akal yang memerhati.


Perasaan sakit itu dikongsi dengan semua pancaindera dari hati.

"Allahu Rabbi, kemana si dia pergi? Di mana si dia harus ku cari? Di mana si dia dapat ku temui? Apa yang perlu aku lakukan untuk si dia kembali?"

Perlahan-lahan tangan diturunkan. Kaki juga dibetulkan silaan. Sejadah di bawah silaan dibetulkan kedudukan. Tangan kembali mengambil utas tasbih yang ditinggalkan atas Kitab Tuhan. Zikir Fatimah dibacakan dalam sendu tangisan. Berusaha untuk kembali menguatkan hati yang seperti tumbang atas kehilangan.

Si dia. Benar, tinggi nilainya si dia untuk aku. Besar wataknya untuk diriku. Tinggi nilainya padaku. Itulah dia, dia yang aku benar-benar mahu. Si dia yang benar-benar aku rindu.

Kehilangan si dia mula-mula seperti tiada rasa. Rasa biasa. Rasa yang ada di mana-mana. Setelah lama si dia tiada, baru kini aku perasaan perginya. Rasa air mata sudah tidak biasa mengalir takutkan Tuhannya. Rasa semakin banyak dosa yang dibuat walau tahu akibatnya. Rasa seperti sudah jauh jaraknya antara aku dengan Yang Maha Esa.

Sudah pelbagai cara diikhtiarkan. Sudah pelbagai bahan ilmu dibacakan. Sudah didengar alunan ayat-ayat kebesaran. Sampai seperti mana semasa si dia itu tiada, air jernih itu sudah berhenti membasahi mata. Dan kini sehingga air jernih itu kembali membasahi. Si dia tetap juga tidak mahu kembali. Apa khilafku kali ini?

Si dia itu, jika kembali lagi menghuni hati. Pasti aku janji untuk tidak mengabaikannya walau seinci. Pasti aku janji untuk tidak melupakannya walau sehari. Pasti aku janji tidak akan lalai untuk bertanya khabarnya dari hati.

Kini si dia telah selamat kembali.

Bibir kembali mengukir senyuman. Air jernih yang mengalir juga sudah dikeringkan. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan. Tangan kembali letaknya pada hati yang degupnya kembali seperti kebiasaan. Mata diturunkan penglihatan.

Dengan kepayahan bibir berbicara pada si dia yang kini sudah kembali,  "Iman, apa khabar kamu hari ini? Janji ya bahawa kamu tidak akan lari dariku lagi."

Dan ya, si dia itu iman. Iman yang dikurnia Ilahi untuk hati.

IluvIslam


EmoticonEmoticon